Seremban: “Encik...emak dan ayah saya dah lama meninggal sebab kemalangan.” Itulah antara helah seorang lelaki yang sanggup berbohong bagi mengelak ibu bapanya mengetahui dia ditahan kerana berkhalwat dalam Op Hari Kekasih di sebuah hotel bajet, di Senawang, malam kelmarin.
Lelaki berusia 21 tahun dan berasal dari Batang Berjuntai, Selangor, itu ditahan bersama pasangannya berusia 20 tahun dari Rawang, ketika menginap di hotel berkenaan sekitar jam 2.30 pagi.
Bagaimanapun, helah lelaki terbabit terbongkar apabila anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membuat pemeriksaan sebelum menemui nombor ibu bapanya disimpan dalam telefon bimbit.
Anggota terbabit kemudian menghubungi nombor berkenaan sebelum bapa kepada lelaki terbabit menjawab panggilan itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Amran Awaluddin berkata, selepas pemeriksaan, kami menemui nama ‘daddy’ dan lelaki berkenaan menyatakan itu nombor lama ‘arwah’ bapanya.
“Sebaik penipuannya terbongkar, lelaki itu kemudian memohon maaf kepada anggota kami kerana berbohong,” katanya ketika dihubungi semalam.
Amran berkata, lelaki terbabit antara empat pasangan ditahan pihaknya dalam operasi bermula jam 12.30 tengah malam hingga 4 pagi itu.
“Dalam operasi disertai 27 anggota, kami turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun dan pasangannya berusia 42 tahun yang masing-masing sudah mendirikan rumah tangga.
“Wanita itu ditemui dalam keadaan berbogel dan hanya menutup tubuhnya menggunakan selimut manakala lelaki berkenaan sudah lengkap berpakaian.
“Pada mulanya mereka mendakwa mempunyai ikatan sah, namun disebabkan gagal mengemukakan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri, kami menahan mereka,” katanya.
Katanya, mereka dibawa ke pejabat penguatkuasaan JHEAINS untuk diambil keterangan dan disiasat mengikut Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.
“Mereka boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Justeru, kami akan terus menjalankan op cegah maksiat secara berkala bagi membendung dan mencegah maksiat di negeri ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2016 @ 7:21 AM
ANGGOTA JHEAINS menahan pasangan bukan mahram di bilik hotel ketika Op Hari Kekasih di sebuah hotel di Seremban 2.
0 comments:
Post a Comment