UNTUK mendirikan rumah tangga bukanlah satu perkara yang enteng untuk difikirkan, tambahan memikirkan calon berkongsi hidup sehidup semati perlulah memilih calon yang tepat agar dapat mengimpikan rumah tangga bahagia.

Begitulah yang sebolehnya dimahukan pelakon yang popular dalam drama Hati Perempuan, Mia Ahmad berhubung soal calon suami yang akan menjadi pilihannya suatu hari nanti.

Mengakui yang dirinya juga bukanlah terlalu memilih atau meletakkan syarat tetapi cukup sekadar lelaki tersebut beriman dengan mendirikan rukun Islam ke dua itu.
 
“Sebolehnya calon kekasih atau suami saya mestilah cukup solat lima waktunya seperti yang dikehendaki orang tua saya itu yang penting.

“Yang lain saya tidak punyai syarat-syarat tertentu untuk memilih seseorang itu menjadi suami saya suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis ‘Syukur Selalu Syawal’ anjuran Media Prima, baru-baru ini.

Mia atau nama sebenarnya Samiha Ahmad Baderi juga mengakui sejak bergelar artis ada beberapa individu cuba untuk berkenalan dengannya.

“Memang sejak kebelakangan ini ada ramai orang cuba berkenalan dengan saya, tetapi tidaklah ramai.

“Namun saya bukanlah seorang yang mudah untuk menjalin hubungan dengan sesiapa, hanya setakat berkenalan melalui telefon, tidak mungkin akan saya layan untuk menjadi teman istimewa saya,” katanya.